kiss!!!

Monday, 7 March 2011

sebab aku kan ALONG...(Y_Y)




peace be upon to u!
aku nak kongsi story pasal nie....abis berkotak-kotak tisu..waa terharu...

sebab aku kan ALONG...

"Apa nak jadi dengan kau ni Along? Bergaduh! Bergaduh! Bergaduh! Kenapa kau
degil sangat ni? Tak boleh ke kau buat sesuatu yang baik, yang tak
menyusahkan aku?", marah ibu. Along hanya membungkam. Tidak menjawab
sepatah apapun. "Kau tu dah besar Along. Masuk kali ni dah dua kali kau
ulang ambil SPM, tapi kau asyik buat hal di sekolah. Cuba la kau ikut macam
Angah dengan Alang tu. Kenapa kau susah sangat nak dengar nasihat orang
hah?", leter ibu lagi.

Suaranya kali ini sedikit sebak bercampur marah. Along terus membatukan
diri. Tiada sepatah kata pun yang keluar dari mulutnya. Seketika dia
melihat si ibu berlalu pergi dan kembali semula dengan rotan di tangannya.
Kali ini darah Along mula menderau. Dia berdoa dalam hati agar ibu tidak
memukulnya lagi seperti selalu. "Sekarang kau cakap, kenapa kau bergaduh
tadi? Kenapa kau pukul
anak pengetua tu? Cakap Along, cakap!" Jerkah ibu.
Along semakin berdebar-debar namun dia tidak dapat berkata-kata. Suaranya
bagai tersekat di kerongkong. Malah, dia juga tidak tahu bagaimana hendak
menceritakan hal sebenar. Si ibu semakin bengang.

" Jadi betul la kau yang mulakan pergaduhan ye!? Nanti kau, suka sangat
cari penyakitkan, sekarang nah, rasakan!" Si ibu merotan Along berkali-kali
dan berkali-kali jugaklah Along menjerit
kesakitan.

"Sakit bu...sakit....maafkan Along bu, Along janji tak buat lagi....Bu,
jangan pukul bu...sakit bu..." Along meraung meminta belas si ibu agar
tidak merotannya lagi. "Tau sakit ye, kau bergaduh kat sekolah tak rasa
sakit?" Balas ibu lagi.

Kali ini semakin kuat pukulan si ibu menyirat tubuh Along yang kurus itu.
"Bu...ampunkan Along bu...bukan
Along yang mulakan...bukan Along....bu,
sakit bu..!!", rayu Along dengan suara yang tersekat-sekat menahan pedih.

Along memaut kaki si ibu. Berkali-kali dia memohon maaf daripada ibunya
namun siratan rotan tetap mengenai tubuhnya. Along hanya mampu berdoa. Dia
tidak berdaya lagi menahan tangisnya. Tangis bukan kerana sakitnya dirotan,
tapi kerana memikirkan tidak jemukah si ibu merotannya setiap hari. Setelah
hatinya puas, si ibu mula
berhenti merotan Along. Tangan Along yang masih
memaut kakinya itu di tepis kasar. Along menatap mata ibu. Ada manik-manik
kaca yang bersinar di kelopak mata si ibu. Along memandang dengan sayu.
Hatinya sedih kerana telah membuatkan ibunya menangis lagi kerananya.

Malam itu, Along berjaga sepanjang malam. Entah mengapa matanya tidak dapat
dilelapkan. Dia asyik teringatkan peristiwa dirotan ibu petang tadi.
Begitulah yang berlaku apabila
ibu marahkannya. Tapi kali ini marah ibu
sangat memuncak. Mungkin kerana dia menumbuk anak pengetua sewaktu di
sekolah tadi menyebabkan pengetua hilang sabar dan memanggil ibunya ke
sekolah untuk membuat aduan kesekian kalinya. Sewaktu di bilik pengetua,
Along sempat menjeling ibu di sebelah. Namun, dia tidak diberi kesempatan
untuk bersuara. Malah, semua kesalahan itu di dilemparkan kepadanya
seorang. Si Malik anak pengetua itu bebas seolah-olah sedikit pun tidak
bersalah dalam hal ini. Along mengesat sisa-sisa air mata yang masih
bertakung di kelopak matanya. Dia berlalu ke meja tulis mencapai minyak
sapu lalu disapukan pada bekas luka yang berbirat di tubuhnya dek rotanan
ibu tadi. Perlahan-lahan dia menyapu ubat namun masih tetap terasa
pedihnya. Walaupun sudah biasa dirotan, namun tidak seteruk kali ini Along
merebahkan badannya. Dia cuba memejamkan mata namun masih tidak mahu lelap.
Seketika wajah ibu menjelma diruang ingatannya. Wajah ibu
suatu ketika
dahulu sangat mendamaikan pada pandangan matanya. Tetapi, sejak dia gagal
dalam SPM, kedamaian itu semakin pudar dan hanya kelihatan biasa dan
kebencian di wajah tua itu. Apa yang dibuat serba tidak kena pada mata ibu.
Along sedar, dia telah mengecewakan hati ibu dahulu kerana mendapat
keputusan yang corot dalam SPM.

Tetapi Along tidak pernah ambil hati dengan sikap ibu walau adakalanya
kata-kata orang tua itu menyakiti hatinya. Along sayang pada ibu. Dialah
satu-satunya ibu yang Along ada walaupun kasih ibu tidak semekar dahulu
lagi. Along mahu meminta maaf. Dia tidak mahu menjadi anak derhaka.
Fikirannya terlalu cacamarba, dan perasaannya pula semakin resah gelisah.
Akhirnya, dalam kelelahan melayani perasaan, Along terlelap juga.

Seminggu selepas peristiwa itu, si ibu masih tidak mahu bercakap dengannya.
Jika ditanya, hanya sepatah dijawab ibu.. Itupun acuh tidak acuh sahaja.
Pulang dari sekolah, Along terus menuju ke dapur. Dia mencangak mencari ibu
kalau-kalau orang kesayangannya itu ada di situ. Along tersenyum memandang
ibu yang terbongkok-bongkok mengambil sudu di bawah para dan kemudian
mencacap makanan yang sedang dimasak itu. Dia nekad mahu menolong.
Mudah-mudahan usahanya kali ini berjaya mengambil hati ibu. Namun, belum
sempat dia melangkah ke dapur, adik
perempuannya yang baru pulang daripada
mengaji terus meluru ke arah ibu. Along terperanjat dan cuba berselindung
di sebalik pintu sambil memerhatikan mereka..

" Ibu..ibu masak apa ni? Banyaknya lauk, ibu nak buat kenduri ye!?" Tanya
Atih kehairanan.

Dia tidak pernah melihat ibunya memasak makanan yang pelbagai jenis seperti
itu. Semuanya enak-enak belaka.
Si ibu yang lincah menghiris sayur hanya
tersenyum melihat keletah anak bongsunya itu.

Sementara Along disebalik pintu terus memerhatikan mereka sambil memasang
telinganya. "Ibu, Atih nak rasa ayam ni satu boleh?" " Eh jangan, nanti
dulu. Ibu tau Atih lapar, tapi tunggulah Kak Ngah dengan Alang balik dulu.

Nanti kita makan sekali. Pergi naik atas mandi dan tukar baju dulu ye!", si
ibu bersuara lembut.

Along menarik nafas panjang dan melepaskannya perlahan. 'anak-anak
kesayangan ibu nak balik rupanya..' bisik hati kecil Along. "Kak Ngah
dengan Alang nak balik ke ibu?", soalnya lagi masih belum berganjak dari
dapur.

Si ibu mengangguk sambil tersenyum. Di wajahnya jelas menampakkan
kebahagiaan.

"Oooo patutlah ibu masak lauk banyak-banyak. Mmm bu, tapi Atih pelik la.
Kenapa bila Along balik, ibu tak masak macam ni pun?". Along terkejut
mendengar soalan Atih Namun dia ingin sekali tahu apa jawapan dari ibunya.

"Along kan hari-hari balik rumah? Kak Ngah dengan Alang lain, diorang kan
duduk asrama, balik pun sebulan sekali ja!", terang si ibu.

"Tapi, ibu tak penah masak lauk macam ni dekat Along pun..", soal Atih
lagi. Dahinya sedikit berkerut dek kehairanan. Along mula terasa sebak. Dia
mengakui kebenaran kata-kata adiknya itu namun dia tidak mahu ada perasaan
dendam atau marah walau secalit pun pada ibu yang sangat disayanginya.

"Dah tu, pergi mandi cepat. Kejap lagi kita pergi ambil Kak Ngah dengan
Alang dekat stesen bas." , arah ibu. Dia tidak mahu
Atih mengganggu
kerja-kerjanya di dapur dengan menyoal yang bukan-bukan. Malah ibu juga
tidak senang jika Atih terus bercakap tentang Along. Pada ibu, Along anak
yang derhaka yang selalu menyakiti hatinya.. Apa yang dikata tidak pernah
didengarnya. Selalu pula membuat hal di sekolah mahupun di rumah.
Disebabkan itulah ibu semakin hilang perhatian pada Along dek kerana marah
dan kecewanya.

Selepas ibu dan Atih keluar, Along juga turut keluar. Dia menuju ke Pusat
Bandar sambil jalan-jalan buat menghilangkan tekanannya.

Tiba di satu kedai, kakinya tiba-tiba berhenti melangkah Matanya terpaku
pada sepasang jubah putih berbunga ungu yang di lengkapi dengan tudung
bermanik.

'Cantiknya, kalau ibu pakai mesti lawa ni....' Dia bermonolog sendiri.
Along melangkah masuk ke dalam kedai itu. Sedang dia membelek-belek jubah
itu, bahunya tiba-tiba disentuh seseorang. Dia segera menoleh. Rupa-rupanya
itu Fariz, sahabatnya.

"La...kau ke, apa kau buat kat sini?", tanya Along ingin tahu sambil
bersalaman dengan Fariz..

"Aku tolong jaga butik kakak aku. Kau pulak buat apa kat sini?", soalnya
pula.

"Aku tak de buat apa-apa, cuma nak tengok-tengok baju ni. Aku ingat nak
kasi mak aku!", jelas Along jujur.

"waa...bagus la kau ni Azam. Kalau kau nak beli aku bagi less 50%.
Macammana?" Terlopong mulut Along mendengar tawaran Fariz itu.

"Betul ke ni Riz? Nanti marah kakak kau!", Along meminta kepastian.

"Untuk kawan baik aku, kakak aku mesti bagi punya!", balas Fariz
meyakinkannya.

"Tapi aku kena beli minggu depan la. Aku tak cukup duit sekarang ni."
Cerita Along agak keseganan. Fariz hanya menepuk mahunya sambil tersenyum.

"Kau ambik dulu, lepas tu kau bayar sikit-sikit." Kata Fariz . Along hanya
menggelengkan kepala tanda tidak setuju. Dia tidak mahu berhutang begitu.
Jika ibunya tahu, mesti dia dimarahi silap-silap dipukul lagi.

"Dekat kau ada berapa ringgit sekarang ni?", soal Fariz yang benar-benar
ingin membantu sahabatnya itu. Along menyeluk saku seluarnya dan
mengeluarkan dompet berwarna hitam yang semakin lusuh itu.

"Tak sampai sepuluh ringgit pun Riz, tak pe lah, aku datang beli
minggu
depan. Kau jangan jual dulu baju ni tau!", pesan Along bersungguh-sungguh.
Fariz hanya mengangguk senyum.

Hari semakin lewat. Jarum pendek sudah melangkaui nombor tujuh. Setelah
tiba, kelihatan Angah dan Alang sudah berada di dalam rumah. Mereka sedang
rancak berbual dengan ibu di ruang tamu. Dia menoleh ke arah mereka
seketika kemudian menuju ke dapur. Perutnya terasa lapar sekali kerana
sejak pulang dari sekolah petang tadi dia belum makan lagi. Penutup makanan
diselak. Syukur masih ada sisa lauk-pauk yang ibu masak tadi bersama
sepinggan nasi di atas meja. Tanpa berlengah dia terus makan sambil
ditemani Si Tomei, kucing kesayangan arwah ayahnya.

"Baru nak balik waktu ni? Buat hal apa lagi kat luar tu?", soalan ibu yang
bernada sindir itu tiba-tiba membantutkannya daripada menghabiskan sisa
makanan di dalam pinggan.

"Kenapa tak makan kat luar ja? Tau pulak, bila lapar nak balik rumah!",
leter ibu lagi. Along hanya diam. Dia terus berusaha mengukir senyum dan
membuat muka selamber seperti tidak ada apa-apa yang berlaku. Tiba-tiba
Angah dan Alang menghampirinya di meja makan. Mereka berdiri di sisi ibu
yang masih memandang ke arahnya seperti tidak berpuas hati.

"Along ni teruk tau. Suka buat ibu susah hati. Kerana Along, ibu kena marah
dengan pengetua tu." Marah Angah, adik perempuannya yang sedang belajar di
MRSM. Along mendiamkan diri. Diikutkan hati, mahu saja dia menjawab
kata-kata adiknya itu tetapi melihat kelibat ibu yang masih di situ, dia
mengambil jalan untuk membisu sahaja.

"Along! Kalau tak suka belajar, berhenti je la. Buat je kerja lain yang
berfaedah daripada menghabiskan duit ibu", sampuk Alang, adik lelakinya
yang menuntut di sekolah berasrama penuh. Kali ini kesabarannya benar-benar
tercabar. Hatinya semakin terluka melihat sikap mereka semua. Dia tahu,
pasti ibu mengadu pada mereka. Along mengangkat mukanya memandang wajah
ibu. Wajah tua si ibu masam mencuka. Along tidak tahan lagi. Dia segera
mencuci tangan dan meluru ke biliknya.

Perasaannya jadi kacau.
Fikirannya bercelaru. Hatinya pula jadi tidak
keruan memikirkan kata-kata mereka. Along sedar, kalau dia menjawab, pasti
ibu akan semakin membencinya. Along nekad, esok pagi-pagi, dia akan
tinggalkan rumah. Dia akan mencari kerja di Bandar. Kebetulan cuti sekolah
selama seminggu bermula esok. Seperti yang dinekadkan, pagi itu selesai
solat subuh, Along terus bersiap-siap dengan membawa beg sekolah berisi
pakaian, Along keluar daripada rumah tanpa ucapan selamat. Dia sekadar
menyelitkan nota buat si ibu menyatakan bahawa dia mengikuti program
sekolah berkhemah di hutan selama seminggu. Niatnya sekadar mahu mencari
ketenangan selama beberapa hari justeru dia terpaksa berbohong agar ibu
tidak bimbang dengan tindakannya itu. Along menunggang motorsikalnya terus
ke Pusat Bandar untuk mencari pekerjaan. Nasib menyebelahinya, tengah hari
itu, dia diterima bekerja dengan Abang Joe sebagai pembantu di bengkel
membaiki motorsikal dengan upah lima belas ringgit
sehari, dia sudah rasa
bersyukur dan gembira. Gembira kerana tidak lama lagi, dia dapat membeli
jubah untuk ibu. Hari ini hari ke empat Along keluar daripada rumah. Si ibu
sedikit gelisah memikirkan apa yang dilakukan Along di luar. Dia juga
berasa agak rindu dengan Along. Entah mengapa hati keibuannya agak
tersentuh setiap kali terpandang bilik Along. Tetapi kerinduan dan
kerisauan itu terubat apabila melihat gurau senda anak-anaknya yang lain.

Seperti selalu, Along bekerja keras membantu Abang Joe di bengkelnya. Sikap
Abang Joe yang baik dan kelakar itu sedikit sebanyak mengubat hatinya yang
luka. Abang Joe baik. Dia banyak membantu Along antaranya menumpangkan
Along di rumahnya dengan percuma.

"Azam, kalau aku tanya kau jangan marah k!", soal Abang Joe tiba-tiba
sewaktu mereka menikmati nasi bungkus tengah hari itu.

"Macam serius jer bunyinya Abang Joe?" Along kehairanan.

"Sebenarnya, kau lari dari rumah kan ?" Along tersedak mendengar soalan
itu. Nasi yang disuap ke dalam mulut tersembur keluar Matanya juga
kemerah-merahan menahan sedakan. Melihat keadaan Along itu, Abang Joe
segera menghulurkan air.

"Kenapa lari dari rumah?
Bergaduh dengan parents?" Tanya Abang Joe lagi
cuba menduga. Soalan Abang Joe itu benar-benar membuatkan hati Along sebak.
Along mendiamkan diri. Dia terus menyuap nasi ke dalam mulut dan mengunyah
perlahan. Dia cuba menundukkan mukanya cuba menahan perasaan sedih.

"Azam, kau ada cita-cita tak...ataupun impian ker...?" Abang Joe mengubah
topik setelah melihat reaksi Along yang kurang selesa dengan soalannya
tadi. " Ada " jawab Along
pendek "Kau nak jadi apa besar nanti? Jurutera?
Doktor? Cikgu? Pemain bola? Mekanik macam aku....atau....

" Along menggeleng-gelengkan kepala. "semua tak...Cuma satu je, saya nak
mati dalam pangkuan ibu saya." Jawab Along disusuli ketawanya. Abang Joe
melemparkan tulang ayam ke arah Along yang tidak serius menjawab soalannya
itu.

" Ala , gurau ja la Abang
Joe. Sebenarnya....saya nak bawa ibu saya ke
Mekah dan....saya....saya nak jadi anak yang soleh!". Perlahan sahaja
suaranya namun masih jelas didengari telinga Abang Joe. Abang Joe tersenyum
mendengar jawapannya. Dia bersyukur di dalam hati kerana mengenali seorang
anak yang begitu baik. Dia sendiri sudah bertahun-tahun membuka bengkel itu
namun belum pernah ada cita-cita mahu menghantar ibu ke Mekah.

Setelah tamat waktu rehat, mereka
menyambung kerja masing-masing. Tidak
seperti selalu, petang itu Along kelihatan banyak berfikir. Mungkin
terkesan dengan soalan Abang Joe sewaktu makan tadi.

"Abang Joe, hari ni, saya nak balik rumah ...terima kasih banyak kerana
jaga saya beberapa hari ni", ucap Along sewaktu selesai menutup pintu
bengkel. Abang Joe yang sedang mencuci tangannya hanya mengangguk. Hatinya
gembira kerana akhirnya anak muda itu mahu pulang ke pangkuan
keluarga.
Sebelum berlalu, Along memeluk lelaki bertubuh sasa itu. Ini menyebabkan
Abang Joe terasa agak sebak

"Abang Joe, jaga diri baik-baik. Barang-barang yang saya tinggal kat rumah
Abang Joe tu, saya hadiahkan untuk Abang Joe." Kata Along lagi

"Tapi, kau kan boleh datang bila-bila yang kau suka ke rumah aku!?", soal
Abang Joe. Dia risau kalau-kalau
Along menyalah anggap tentang soalannya
tadi. Along hanya senyum memandangnya.

"Tak apa, saya bagi kat Abang Joe. Abang Joe, terima kasih banyak ye! Saya
rasa tak mampu nak balas budi baik abang. Tapi, saya doakan perniagaan
abang ni semakin maju." Balasnya dengan tenang. Sekali lagi Abang Joe
memeluknya bagai seorang abang memeluk adiknya yang akan pergi jauh.

Berbekalkan upahnya, Along segera menuju ke butik kakak Fariz untuk membeli
jubah yang diidamkannya itu. Setibanya di sana , tanpa berlengah dia terus
ke tempat di mana baju itu disangkut.

" Hey Azam, mana kau pergi? Hari tu mak kau ada tanya aku pasal kau. Kau
lari dari rumah ke?", soal Fariz setelah menyedari kedatangan sahabatnya
itu Along hanya tersengeh menampakkan giginya.

"Zam, mak kau marah kau lagi ke? Kenapa kau tak bagitau hal sebenar pasal
kes kau tumbuk si Malik tu?"

"Tak pe lah, perkara dah berlalu....lagipun, aku tak nak ibu aku terasa
hati kalau dia dengar tentang perkara ni", terang Along dengan tenang.

"Kau jadi mangsa. Tengok, kalau kau tak bagitau, mak kau ingat kau yang
salah", kata Fariz lagi.

"Tak apa lah Riz, aku tak nak ibu aku sedih. Lagipun aku tak kisah."

"Zam..kau ni....." "Aku ok, lagipun aku sayang dekat ibu aku. Aku tak nak
dia sedih dan ingat kisah lama tu."

Jelas Along memotong kata-kata si sahabat yang masih tidak berpuas hati
itu.

"Aku nak beli jubah ni Riz. Kau tolong balutkan ek, jangan lupa lekat kad
ni sekali, k!", pinta Along sambil menyerahkan sekeping kad berwarna merah
jambu.

"No problem...tapi, mana kau dapat duit? Kau kerja ke?" , soal Fariz ingin
tahu. "Aku kerja kat bengkel Abang Joe.. Jadi pembantu dia", terang Along.

"Abang Joe mana ni?" "Yang buka bengkel motor kat Jalan Selasih sebelah
kedai makan pakcik kantin kita tu!", jelas Along dengan panjang lebar.
Fariz mengangguk .

"Azam, kau nak bagi hadiah ni kat mak kau bila?"

"Hari ni la..." balas Along. "Ooo hari lahir ibu kau hari ni ek?

" "Bukan, minggu depan..." "Habis?. Kenapa kau tak tunggu minggu depan
je?", soal Fariz lagi. "Aku rasa hari ni je
yang yang sempat untuk aku bagi
hadiah ni. Lagipun, aku harap lepas ni ibu aku tak marah aku lagi."
Jawabnya sambil mengukir senyum.

Along keluar daripada kedai. Kelihatan hujan mulai turun. Namun Along tidak
sabar menunggu untuk segera menyerahkan hadiah itu untuk ibu. Sambil
menunggang, Along membayangkan wajah ibu yang sedang tersenyum menerima
hadiahnya itu. Motosikalnya sudah membelok ke Jalan Nuri II. Tiba di
simpang hadapan lorong masuk ke rumahnya, sebuah kereta wira yang cuba
mengelak daripada melanggar seekor kucing hilang kawalan dan terus merempuh
Along dari depan yang tidak sempat mengelak.

Akibat perlanggaran yang kuat itu, Along terpelanting ke tengah jalan dan
mengalami hentakan yang kuat di kepala dan belakangnya. Topi keledar yang
dipakai mengalami retakan dan tercabut daripada kepalanya, Along membuka
matanya perlahan-lahan dan terus mencari hadiah untuk si ibu dan dengan
sisa kudrat yang ada, dia cuba mencapai hadiah yang tercampak
berhampirannya itu. Dia menggenggam kuat cebisan kain dan kad yang terburai
dari kotak itu. Darah semakin membuak-buak keluar dari hidungnya. Kepalanya
juga terasa sangat berat, pandangannya berpinar-pinar dan nafasnya semakin
tersekat-sekat.

Dalam keparahan itu, Along
melihat kelibat orang-orang yang sangat
dikenalinya sedang berlari ke arahnya. Serta merta tubuhnya terus dirangkul
seorang wanita. Dia tahu, wanita itu adalah ibunya. Terasa bahagia sekali
apabila dahinya dikucup saat itu. Along gembira. Itu kucupan daripada
ibunya. Dia juga dapat mendengar suara Angah, Alang dan Atih
memanggil-manggil namanya. Namun tiada suara yang keluar dari kerongkongnya
saat itu. Along semakin lemah. Namun, dia kuatkan semangat dan cuba
menghulurkan jubah dan kad yang masih digenggamannya itu.

"Ha..hadiah....untuk.....ibu.........." ucapnya sambil berusaha mengukir
senyuman. Senyuman terakhir buat ibu yang sangat dicintainya. Si ibu begitu
sebak dan sedih. Si anak dipeluknya sambil dicium berkali-kali. Air matanya
merembes keluar bagai tidak dapat ditahan lagi. Pandangan Along semakin
kelam. Sebelum matanya tertutup rapat, terasa ada air hangat yang menitik
ke wajahnya.

Akhirnya, Along terkulai dalam pangkuan ibu dan dia pergi untuk
selama-lamanya.

Selesai upacara pengebumian, si ibu terus duduk di sisi kubur Along bersama
Angah, Alang dan Atih.

Dengan lemah, wanita itu mengeluarkan bungkusan yang hampir relai dari beg
tangannya. Sekeping kad berwarna merah jambu bertompok darah yang kering
dibukanya lalu dibaca.

'Buat ibu yang sangat dikasihi, ampunkanlah salah silap along selama ini.
Andai along melukakan hati ibu, along pinta sejuta kemaafan.

Terimalah maaf along bu..Along janji tak kan membuatkan ibu marah lagi.
Ibu, Along sayang ibu selama-lamanya. Selamat hari lahir ibu... dan
terimalah hadiah ini.....UNTUKMU IBU!'

Kad itu dilipat dan dicium. Air mata yang bermanik mula berjurai membasahi
pipi. Begitu juga perasaan yang dirasai Angah, Alang dan Atih.
Masing-masing berasa pilu dan sedih dengan pemergian seorang abang yang
selama ini disisihkan.

Sedang melayani perasaan masing-masing, Fariz tiba-tiba muncul. Dia terus
mendekati wanita tua itu lalu mencurahkan segala apa yang dipendamnya
selama ini.

"Makcik, ampunkan segala kesalahan Azam. Azam tak bersalah langsung dalam
kes pergaduhan tu makcik. Sebenarnya, waktu Azam dan saya sibuk menyiapkan
lukisan, Malik datang dekat kami Dia sengaja cari pasal dengan Azam dengan
menumpahkan warna air dekat lukisan Azam.

Lepas
tu, dia ejek-ejek Azam. Dia cakap Azam anak pembunuh. Bapa Azam
seorang pembunuh dan .. dia jugak cakap, ibunya seorang perempuan gila.."
cerita Fariz dengan nada sebak. Si ibu terkejut mendengarnya. Terbayang di
ruang matanya pada ketika dia merotan Along kerana kesalahan menumbuk
Malik.

"Tapi, kenapa arwah tidak ceritakan pada makcik Fariz?" Soalnya dengan sedu
sedan.
 assalamualaiku
"Sebab.....dia tak mahu makcik sedih dan teringat kembali peristiwa dulu.
Dia cakap, dia tak nak makcik jatuh sakit lagi, dia tak nak mengambil semua
ketenangan yang makcik ada sekarang...walaupun dia disalahkan, dia terima.
Tapi dia tak sanggup tengok makcik dimasukkan ke hospital sakit jiwa
semula....

" Terang Fariz lagi. Dia berasa puas kerana dapat menyatakan kebenaran bagi
pihak sahabatnya itu.

Si ibu terdiam mendengar penjelasan Fariz. Terasa seluruh anggota badannya
menjadi Lemah. Berbagai perasaan mencengkam hatinya. Sungguh hatinya terasa
sangat pilu dan terharu dengan pengorbanan si anak yang selama ini dianggap
derhaka.

p/s : sayangilah ibu anda sementara beliau masih ada...marah macam mne pown..ibu n ayah kita tetap syang kan kita.....

aku terharu sebab aku adala along..kuikui
sekian tq wasalm

10 comments:

..bicara hati ke hati.. said...

ALONGGGG!!!..

first nak ucap terima kasih sebab along dah buat aku tacing habis punyee.. T__T..

Alongggg..

unta ketot said...

mnje....waaahhh....so sad..x twu nk ckp cmne....cdh cgt2...abbz tisu ucuk..haa..x blh stop ucuk mnngs...huu..:((((

~masithah hanis~ said...

huhuhuhu...renungkanyer....:)
sorry x sangke pulak boley org ngis chill :) huhuhu

unta ketot said...

eee...mng laa...cdh tw...mnje da wt ucuk nngs....haaaa....

~masithah hanis~ said...

huhuhuhuh.....dont be sad

unta ketot said...

eee...mne blh...da lme ucuk x mnngs tw...

Nurul Atika said...

waaa~ cedeynyeee... cdey2..

~masithah hanis~ said...

ika :D..jangan cediy :D

Anonymous said...

pengorbann yg mengasyikkan.....huhu
sopp..sopp....sdh r skit....

Anonymous said...

pengorbann yg mengasyikkan.....huhu
sopp..sopp....sdh r skit....

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...